Monday, August 13, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 10

Bermain Di Pantai


Pantai yang indah berpasir hanya tinggal kenangan.
Kampung Rejang terletak di Muara Sungai Rejang.  Di hadapannya terbentang Laut China Selatan.  Dulu...dalam tahun 70an...pantainya masih berpasir.  Lama-kelamaan...pasir menjadi selut (muddy) dan akhirnya ia terpaksa dibenteng dengan bongkah-bongkah batu yang besar untuk mengelak tebing terus runtuh dipukul ombak laut.  Kos ditanggung Kerajaan untuk meletakkan bongkah-bongkah batu itu menelan belanja berjuta Ringgit..

Mengapa pasir pantai boleh hilang dan bertukar menjadi selut ?  Saya percaya semua itu berlaku kerana pencemaran alam.  Pencemaran oleh aktiviti pembalakan di Hulu Sungai dan kilang-kilang kayu yang terdapat banyak di sepanjang Sungai Rejang.  Mungkinkah itu sebabnya? Wallahualam.

Semasa masih kanak-kanak...saya dan kawan-kawan sering juga bermain di pantai kala air surut.

Di pantai kami mengutip bebiji berwarna hitam yang orang kampung kami panggil ' buak Lupis'.  Bentuknya leper dan berwarna hitam licin.  Sampai  hari ini saya tidak tahu bagaimana rupanya pokok yang menghasilkan buah Lupis itu. Biji-biji lupis itu dihanyut oleh air laut dan terdampar di pantai bila air surut.  Biji-biji tersebut kami gunakan untuk bermain congkak.

Banyak kali juga...semasa bermain di pantai itu kami menemui manik-manik berwarna-warni dan cebisan-cebisan tembikar pecah.  Manik-manik itu kami kutip  dan dibuat sebagai barang permainan.

Menurut cerita orang-orang tua di Kampung kami, lama dulu...sebelum kedatangan Islam, orang-orang Kampung kami beragama Pagan..iaitu kepercayaan yang percaya kepada roh-roh.

Bila berlaku kematian, mereka menguburkan mayat-mayat didalam tempayan tembikar yang besar dan barang-barang seperti pinggan mangkuk dan perhiasan seperti emas dan manik-manik juga akan dikubur bersama dengan simati.

Jadi, besar kemungkinan cebisan-cebisan tembikar dan manik-manik yang kami temui di pantai itu adalah dari kuburan lama yang telah runtuh dipukul ombak laut.

Seorang yang saya kenali pernah menceritakan kepada saya bahawa semasa kecil, dia pernah menjumpai emas yang agak banyak dalam tempayan yang tertimbus dalam pasir di pantai Kampung kami.  Dia mengambil emas tersebut dan memberinya kepada ibu dia.  Tetapi ibu dia ketakutan dan meminta dia menyimpan semula emas itu di tempat dia menjumpainya.  Dia bergegas semula ke pantai dan bernasib baik kerana air masih surut dan dia menyimpannya semula kedalam tempayan yang masih tertimbus di dalam pasir.

Menurut cerita orang-orang tua di Kampung kami juga, dulu banyak kapal  layar atau disebut juga sebagai Jong dari negeri China singgah di perairan Kampung kami.  Jong atau kapal Layar berkenaan milik peniga-peniaga dari negeri China yang dalam perjalanan ke  negeri-negeri lain untuk berniaga.  Apabila mereka berhenti di perairan Kampung kami, mereka akan bertukar-tukar barang yang mereka bawa seperti tempayan, pinggan mangkuk tembikar dan manik-manik  dengan makanan dari orang-orang kampung.  Oleh yang demikian , maka ramailah orang-orang kampung kami memiliki barang-barang berkenaan.

Hingga kini, masih banyak lagi rumah-rumah di kampung kami menyimpan khazanah-khazanah seperti itu yang diwariskan secara turun temurun.  Semasa ibu-bapa kami berkahwin, tempayan antik adalah antara bahan-bahan hantaran yang diterima oleh ibu kami.

Ada satu kisah aneh berkenaan dengan pantai itu yang berlaku kepada datuk saya sebelah mak yang kami panggil Nek S.  Pada satu malam, Nek S bermimpi melihat seorang wanita dengan rambut bersanggul sedang mengendong anak kecil berjalan menyusuri air laut di pantai Kampung kami dengan air laut berada pada paras lutut si ibu..  Keesokan paginya, Nek S pergi ke pantai dan semasa menyusuri pantai itu dia menemui patung tembikar berupa seorang wanita dengan rambut bersanggul sedang menyusukan bayi...dan patung itu hanya separuh kerana bahagian kakinya sudah pecah !  Saya masih ingat semasa Nek S menceritakan tentang kisah itu....saya berasa sangat seram..




Sebahagian daripada manik antik kepunyaan ibu saya.

Manik seramik masa kini yang meniru design manik antik


Sungguh menakjubkan that something made so long ago in another country, made it's way across an ocean and become part of my story and my life :))

Wednesday, August 8, 2012

500 Duri Landak Terpacak Pada Muka Anjing

 Siapa pernah dikejar anjing?  Saya pernah, masa itu saya masih di Sekolah Rendah. Ia berlaku semasa saya  berjalan pulang dari rumah Nenek kami di Kampung Hilir, Rejang. Ia berlaku di jalan berhadapan rumah berek pekerja-pekerja kilang yang juga lebih dikenali sebagai rumah panjang oleh orang kampung kami sebab rekabentuknya seakan rumah panjang. Semasa lalu di situ, tiba-tiba seekor anjing mengejar saya.  Saya berlari sekuat hati.  Nasib baik, ada seseorang yang berada di berandah rumah panjang itu nampak kejadian itu dan terus memanggil nama anjing tersebut.  Sebaik nama ia dipanggil, anjing tersebut berhenti mengejar saya dan terus menuju kearah orang yang memanggilnya.  Sejak hari itu, saya ketakutan untuk melalui jalan itu seorang diri kecuali bila berada dalam kumpulan yang ramai.  Jika tidak, saya akan menggunakan jalan pintas yang melalui kebun getah lama tidak jauh dari situ.

Walaupun begitu, saya tidak membenci anjing.  Ia juga makhluk ciptaan Allah. Saya sukakan anjing jiran saya sekarang yang akan menyalak jika ia melihat orang yang tidak dikenali. Sekurang-kurangnya, jika ada orang yang berniat jahat, mereka akan berfikir banyak kali.

 Kisah di bawah ini sangat menyanyat hati saya. 


500 Duri Landak Terpacak Pada Muka Anjing:

NORMAN – Bella Mae, anjing bulldog berusia tiga tahun dari Oklahoma, mempelajari sesuatu yang mungkin tidak akan dilupakannya selepas diserang seekor landak hingga menyebabkan 500 duri landak melekat pada mukanya.

Doktor veterinar di Norman menjalankan pembedahan untuk membuang duri berkenaan dari kepala dan kaki anjing itu.


Mereka percaya sebahagian duri berkenaan masih berada di dalam tubuh Bella Mae meskipun anjing itu kini pulih daripada serangan itu.

Jerry dan isteri, Allison Noles memberitahu stesen televisyen KWTV bahawa anjing itu bermain dengan haiwan peliharaan mereka yang lain berhampiran kolam keluarga itu apabila mereka berdepan dengan seekor landak.

Keluarga itu percaya landak terbabit berada di kolam mereka untuk meminum air yang kini sukar didapati di Oklahoma.


Pasangan itu yakin Bella Mae berada terlalu rapat dan mencetuskan kemarahan landak berkenaan, menyebabkan ia melancarkan serangan.

Doktor veterinar di Pusat Kesemasan Untuk Haiwan, Leonardo Baez memberitahu KWTV, dia belum pernah melihat serangan landak sebegitu teruk ke atas haiwan peliharaan. 

Sumber: DM

.

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 9


Mandi Air Masin dan Buaya Sg Bapa.



Masa masih budak-budak di Kampung...ada beberapa kali bila air pasang, saya mandi sungai dengan beberapa orang kawan.  Sungai tersebut dinamakan Sungai Bapa...airnya masin dan  letaknya di belakang kampung kami.  Biasanya kami mandi-manda di kawasan yang airnya cetek . Kebanyakan kawan saya juga seperti saya..tak tahu berenang.  Sebab itu kami pilih kawasan cetek sahaja...tak berani ke tengah sungai.

Sekali-sekala...bila air laut pasang...kami mandi laut...itu pun mandi di gigi air sahaja...
Kebanyakan kami budak-budak perempuan memang tak tahu berenang sebab kebanyakan ibu-bapa kami memang pantang sangat kalau tahu kami mandi di Sungai...apatah lagi di laut.

Aktiviti mandi Sungai dan laut biasanya kami lakukan secara bersembunyi dari ibu-bapa kami.  

Pada satu hari, apak memanggil saya dan bertanya betulkah saya ada mandi di Sungai.  Saya diam sahaja.  Apak kata lagi..Pakcik Sahari yang beritahu apak ada nampak saya mandi dengan kawan-kawan di Sungai Bapa. Maka..terpaksalah saya mengaku.  Apak tidaklah marah sangat, tetapi apak tidak mahu saya mandi di Sungai itu lagi kerana kata apak, Pakcik Sahari pernah melihat buaya di Sungai itu, sebab itu dia beritahu apak supaya melarang saya dan kawan-kawan mandi di Sungai itu lagi. Namun pada masa itu, saya langsung tak percaya dengan cerita apak. Bagi saya ketika itu, semuanya cerita rekaan orang dewasa untuk menakutkan kanak-kanak.  Selepas ditegur apak,  saya masih lagi mengikut kawan-kawan mandi di situ tanpa pengetahuan apak.

Pakcik Sahari berasal dari Kuching.  Masa tu dia berada di Rejang kerana menjaga projek DID di Kampung kami.  Selalu juga dia diajak apak makan di rumah kami, sebab itu Pakcik Sahari kenal dengan saya.  

Cerita apak dan Pakcik Sahari tentang adanya buaya di Sungai Bapa hanya saya percayai setelah saya sendiri melihat buaya di sungai tersebut dalam tahun 2006.  Masa itu, saya berkerja di Kementerian Pelancongan Sarawak.  Saya bersama tiga orang rakan sepejabat telah menyewa speed boat untuk pergi meninjau kawasan Taman Negara Hutan Bakau di seberang kampung kami. Ianya merupakan tugas rasmi...meninjau tempat-tempat untuk dimajukan sebagai ecotourism.  Kesempatan itu kami ambil untuk menyusuri sungai-sungai yang ada di kawasan berdekatan Tanjung Manis dan kampung Rejang, termasuklah Sungai Bapa.

Semasa menyusuri Sungai Bapa, kami semua dikejutkan oleh teriakan seorang rakan kami.. “Boyak..boyak.”.beliau menjerit sambil menunjuk ke arah tepi sungai.  Di situ, kelihatan seekor buaya yang agak besar sedang bersantai...Mungkin terkejut dengan bunyi enjin speed boat kami, buaya tersebut dengan pantasnya masuk ke dalam sungai. Menyirap rasanya darah saya melihat permandangan yang tidak saya duga sama-sekali. Jantung saya berdegup kencang, berkali-kali saya meminta pemandu speed boat beredar segera dari situ.  Dalam hati saya sangat-sangat khuatir kalau-kalau buaya itu merapati boat kami dan bermacam lagi imaginasi ada dalam fikiran saya waktu itu.

Itulah pertama kali saya melihat buaya di habitat asalnya.  Sebelum itu saya hanya melihat buaya hidup di Zoo sahaja.

Moral dari cerita ini ialah...percayalah dengan kata-kata orang yang lebih tua...apa lagi bapa sendiri :)

Glosari: buaya = boyak (bahasa Melayu Sarawak)=bayah (bahasa Melanau)

Sunday, August 5, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 8

 Kenangan Ramadhan Di Kampungku.

Hari ini ialah 17 Ramadhan 1433H.  Semalam, 16 Ramadhan 1433H adalah harijadi saya yang ke 50 tahun menurut kalendar Hijrah.  Syukur Alhamdulillah.

Dulu, semasa kecil di Kampung, suasana bulan Ramadhan sangat menyeronokkan.  Suasana di Masjid lebih meriah dari hari-hari biasa. Menjelang petang, kami kanak-kanak selalu disuruh oleh ibu-ibu kami untuk menghantar lauk-lauk sedekah ke rumah jiran dan ahli keluarga.  Saya seronok buat kerja tersebut kerana saya tahu mereka yang menerima sedekah tersebut akan membalasnya.

Kini, suasana sudah jauh berbeza.  Meski Masjid masih lebih meriah dari hari biasa, amalan bersedekah lauk-pauk sudah sangat berkurangan.  

Semasa  di kampung, saya suka mendengar orang bertadarus mengaji Al-Quran melalui corong pembesar suara dari Masjid yang tidak jauh dari rumah kami. Rasa ingin turut sama dikekang dek rasa segan kerana tahu diri tidak fasih mengaji.  Kerana rasa segan itu, saya selalunya akan pulang ke rumah terus selepas solat terawih kerana bimbang jika diajak bertadarus.Sekali-sekala saya mengintai juga kawan-kawan bertadarus dari tingkat atas Masjid (kawasan jemaah wanita).  Cemburu juga melihat mereka bertadarus.  Bila difikirkan, rugi rasanya kerana tiada kenangan manis bertadarus di Masjid.  Sangat beruntunglah mereka yang fasih mengaji Quran.

Monday, July 30, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 7


Makan Kenyumah

Kisah ini ada kaitannya dengan kilang memproses serpihan kayu bakau di Kampung kami.

’Kenyumah’ ialah sebutan orang Melanau untuk sejenis hidupan habitat hutan bakau yang terdapat dalam batang kayu bakau.  Bentuknya panjang seolah-olah cacing dan mempunyai muncung yang tajam dan keras seumpama bentuk jarum untuk injection.  Sebenarnya kenyumah ini mendiami kawasan  paya bakau dan muncungnya yang tajam itu digunakan untuk menebuk batang bakau.  Aku tidak tahu nama saintifik untuk kenyumah ini.

Semasa kilang serpihan kayu bakau rancak beroperasi, selalu juga Anjang Ade membawa balik kenyumah ke rumah kami.  Kenyumah tersebut dibersihkan dan dibuang isi perutnya yang terdiri daripada tanah liat paya bakau.  Muncungnya yang tajam itu dibuang. Selepas dipotong kecil-kecil, ia dimasak samada dimasak secara tumis atau rebus dicampur lada sulah.  Rasanya enak dan seakan-akan rasa isi lokan.

Aku pernah memakan kenyumah itu mentah-mentah bersama sagu.  Aku berbuat demikian setelah mendengar cerita beberapa orang dewasa bahawa kenyumah juga sedap dimakan mentah-mentah. Malahan pegawai-pegawai Jepun yang menjaga operasi kilang mereka di Kampung kami juga dikatakan turut sama makan kenyumah mentah. Oleh kerana perasaan ingin mencuba yang membuak-buak, aku pun turut makan. Hhmmm...rasanya enak juga, namun itulah kali pertama dan terakhir aku makan kenyumah mentah! 

Aku tidak ingat bila kali terakhir aku melihat dan makan kenyumah.  Agaknya kenyumah sudahpun pupus dari dunia ini dek pencemaran hutan paya bakau yang berleluasa kini.

Aku mendapat tahu, beberapa tahun yang lepas, ada aktiviti menanam anak-anak bakau dijalankan oleh penduduk Kampung Rejang bersama pihak Jabatan Hutan.  Semoga ia berjaya...

Aku: Sudah lama tak melihat kenyumah

Sunday, July 29, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 6


Penghuni Rumah Besar Nek S

Tahun 1972 ,Udak Yot kami melangsungkan perkahwinan dengan jejaka dari Sibu dan  sebelum itu, Nek Nen kami juga telah melangsungkan perkahwinan.  Maka berkuranglah orang dewasa yang mendiami rumah Nek S tempat tinggal kami.  Namun jumlah kanak-kanak telah bertambah dari setahun ke setahun dan sehingga ke satu ketika terdapat 13 orang kanak-kanak yang mendiami rumah Nek S. Kami adik-beradik seramai 5 orang dan sepupu kami anak-anak Anjang Ade seramai 8 orang.

Meskipun rumah kami ramai kanak-kanak, namun rumah kami tetap bersih dan kemas sentiasa malahan lantai rumah kami sentiasa kelihatan berkilat kerana Nek S sangat rajin menyapunya dengan varnish.  Mak dan Anjang Pa pula adalah suri rumah yang sangat mementingkan kebersihan.  Pernah beberapa kali aku terdengar tetamu yang memuji-muji kebersihan rumah kami.  Kata mereka,” lebuk ih sentiasa bersi walaupun idak anak umek” (”rumah ini sentiasa nampak kemas dan bersih walaupun ramai budak-budak”).

Sesungguhnya kami kanak-kanak yang baik dan tidaklah begitu nakal.  Kami jarang bertengkar dan patuh dengan arahan orang tua.

Di rumah kami ada dua bahagian ruang tamu, salah satu ruang tamu itu disebut sebagai ruang ’teko’. Di ruang tersebut diletakkan sebuah set sofa berwarna merah jambu. Ruang itu menjadi kawasan larangan bagi kami kanak-kanak.  Walaupun tiada orang tua yang melihat, kami patuh untuk tidak duduk-duduk di kawasan ”teko” itu.

Dulu rumah Nek S yang kami diami itu ada ruang berandah yang  agak panjang dan pintu masuk ke rumah melalui berandah itu ada empat pintu kesemuanya dan setiap pintu ada dua daun pintu. Di berandah tersebut ada tergantung blind buluh yang diturunkan setiap kali hujan lebat.   Blind buluh itu merupakan buatan tangan Nek S sendiri. Di berandah itu juga pernah ada set  meja kopi bulat batu marmar tempat Nek S dan Nek Aji selalu duduk bersembang sambil minum petang.   Kami kanak-kanak di rumah Nek S selalu menghabiskan masa bermain di berandah tersebut jika tidak bermain di luar rumah.  Menjelang petang, Nek Aji akan menutup semua pintu-pintu di berandah tersebut dan juga tingkap-tingkap di kawasan ’teko’.

Aku: selalu ingat suasana nyaman waktu petang di berandah itu.

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 5


Orang Jepun , Rumah Banglo, Sake dan Terompah Kayu


Dalam tahun  1970an, terdapat sebuah kilang kayu di Kampung Rejang. Ianya milik syarikat Jepun.  Kilang tersebut memproses kayu bakau menjadi serpihan.  Serpihan kayu bakau tersebut di ekspot ke Jepun sepenuhnya.  Setiap bulan, ada kapal besar dari Jepun yang berlabuh di luar pantai Kampung kami untuk mengangkut serpihan kayu bakau tersebut ke Jepun.

Kedatangan kapal besar dari Negeri Jepun itu dan anak-anak kapalnya saban bulan ke Kampung kami memberikan sedikit pendedahan kepada budaya orang Jepun dikalangan penduduk kampung kami pada waktu itu.

Anak-anak kapal Jepun itu membawa bersama mereka barang-barang dari Jepun seperti  minuman keras mereka iaitu Sake, selipar Terompah Jepun , baju Kimono dan mi segera. :)

Gambar ihsan Google

Orang-orang Jepun itu juga pernah menghadiahkan kami di rumah Nek S dengan sekotak besar mi segera  sebagai pertukaran kepada buah limau bali yang dimintanya dari kami. . Waktu itu ada sebatang pokok limau bali di belakang rumah kami dan ia sentiasa berbuah.  Isinya berwarna merah jambu dan rasanya sangat manis.

Pada masa itu, ramailah juga anak-anak dara dan teruna di Kampung kami memakai selipar Terompah Jepun yang diperbuat daripada kayu.  Tak pastilah samada ianya hadiah dari orang-orang Jepun tersebut atau mereka membelinya dari anak-anak kapal Jepun itu.

Gambar ihsan Google


Aku juga masih ingat melihat botol-botol sake yang pelbagai saiz dan bentuk di beberapa rumah orang Kampung kami ketika itu.  Aku harap mereka hanya menyimpan botol-botol tersebut kerana tertarik dengan bentuknya yang pelbagai dan tidak turut sama meminumnya.  Ada diantara botol-botol tersebut yang sangat besar saiznya dari botol-botol biasa.

Anak-anak kapal Jepun itu juga suka meluangkan masa lapang mereka dengan bermain softball di padang bola Kampung kami.


Pegawai-pegawai Jepun yang menjaga operasi kilang mereka di Kampung kami tinggal di tiga buah rumah banglo yang bersambung antara satu sama lain. Rumah-rumah banglo itu letaknya berhadapan dengan Sekolah kami.

Kilang serpihan kayu bakau itu akhirnya telah bertukar tangan kepada syarikat tempatan dan beroperasi lebih dari 20 tahun. Ia berhenti beroperasi kerana kesukaran mendapatkan bahan mentah pada sekitar akhir tahun 1990an.

Kini bangunan kilang dan banglo tersebut sudahpun dirobohkan.



 Teringat sang jejaka Jepun yang bernama Samizu…hensem dan berjambang…masih hidup kah dia?