Monday, July 30, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 7


Makan Kenyumah

Kisah ini ada kaitannya dengan kilang memproses serpihan kayu bakau di Kampung kami.

’Kenyumah’ ialah sebutan orang Melanau untuk sejenis hidupan habitat hutan bakau yang terdapat dalam batang kayu bakau.  Bentuknya panjang seolah-olah cacing dan mempunyai muncung yang tajam dan keras seumpama bentuk jarum untuk injection.  Sebenarnya kenyumah ini mendiami kawasan  paya bakau dan muncungnya yang tajam itu digunakan untuk menebuk batang bakau.  Aku tidak tahu nama saintifik untuk kenyumah ini.

Semasa kilang serpihan kayu bakau rancak beroperasi, selalu juga Anjang Ade membawa balik kenyumah ke rumah kami.  Kenyumah tersebut dibersihkan dan dibuang isi perutnya yang terdiri daripada tanah liat paya bakau.  Muncungnya yang tajam itu dibuang. Selepas dipotong kecil-kecil, ia dimasak samada dimasak secara tumis atau rebus dicampur lada sulah.  Rasanya enak dan seakan-akan rasa isi lokan.

Aku pernah memakan kenyumah itu mentah-mentah bersama sagu.  Aku berbuat demikian setelah mendengar cerita beberapa orang dewasa bahawa kenyumah juga sedap dimakan mentah-mentah. Malahan pegawai-pegawai Jepun yang menjaga operasi kilang mereka di Kampung kami juga dikatakan turut sama makan kenyumah mentah. Oleh kerana perasaan ingin mencuba yang membuak-buak, aku pun turut makan. Hhmmm...rasanya enak juga, namun itulah kali pertama dan terakhir aku makan kenyumah mentah! 

Aku tidak ingat bila kali terakhir aku melihat dan makan kenyumah.  Agaknya kenyumah sudahpun pupus dari dunia ini dek pencemaran hutan paya bakau yang berleluasa kini.

Aku mendapat tahu, beberapa tahun yang lepas, ada aktiviti menanam anak-anak bakau dijalankan oleh penduduk Kampung Rejang bersama pihak Jabatan Hutan.  Semoga ia berjaya...

Aku: Sudah lama tak melihat kenyumah

No comments:

Post a Comment