Sunday, July 29, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 6


Penghuni Rumah Besar Nek S

Tahun 1972 ,Udak Yot kami melangsungkan perkahwinan dengan jejaka dari Sibu dan  sebelum itu, Nek Nen kami juga telah melangsungkan perkahwinan.  Maka berkuranglah orang dewasa yang mendiami rumah Nek S tempat tinggal kami.  Namun jumlah kanak-kanak telah bertambah dari setahun ke setahun dan sehingga ke satu ketika terdapat 13 orang kanak-kanak yang mendiami rumah Nek S. Kami adik-beradik seramai 5 orang dan sepupu kami anak-anak Anjang Ade seramai 8 orang.

Meskipun rumah kami ramai kanak-kanak, namun rumah kami tetap bersih dan kemas sentiasa malahan lantai rumah kami sentiasa kelihatan berkilat kerana Nek S sangat rajin menyapunya dengan varnish.  Mak dan Anjang Pa pula adalah suri rumah yang sangat mementingkan kebersihan.  Pernah beberapa kali aku terdengar tetamu yang memuji-muji kebersihan rumah kami.  Kata mereka,” lebuk ih sentiasa bersi walaupun idak anak umek” (”rumah ini sentiasa nampak kemas dan bersih walaupun ramai budak-budak”).

Sesungguhnya kami kanak-kanak yang baik dan tidaklah begitu nakal.  Kami jarang bertengkar dan patuh dengan arahan orang tua.

Di rumah kami ada dua bahagian ruang tamu, salah satu ruang tamu itu disebut sebagai ruang ’teko’. Di ruang tersebut diletakkan sebuah set sofa berwarna merah jambu. Ruang itu menjadi kawasan larangan bagi kami kanak-kanak.  Walaupun tiada orang tua yang melihat, kami patuh untuk tidak duduk-duduk di kawasan ”teko” itu.

Dulu rumah Nek S yang kami diami itu ada ruang berandah yang  agak panjang dan pintu masuk ke rumah melalui berandah itu ada empat pintu kesemuanya dan setiap pintu ada dua daun pintu. Di berandah tersebut ada tergantung blind buluh yang diturunkan setiap kali hujan lebat.   Blind buluh itu merupakan buatan tangan Nek S sendiri. Di berandah itu juga pernah ada set  meja kopi bulat batu marmar tempat Nek S dan Nek Aji selalu duduk bersembang sambil minum petang.   Kami kanak-kanak di rumah Nek S selalu menghabiskan masa bermain di berandah tersebut jika tidak bermain di luar rumah.  Menjelang petang, Nek Aji akan menutup semua pintu-pintu di berandah tersebut dan juga tingkap-tingkap di kawasan ’teko’.

Aku: selalu ingat suasana nyaman waktu petang di berandah itu.

No comments:

Post a Comment