Sunday, July 29, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 5


Orang Jepun , Rumah Banglo, Sake dan Terompah Kayu


Dalam tahun  1970an, terdapat sebuah kilang kayu di Kampung Rejang. Ianya milik syarikat Jepun.  Kilang tersebut memproses kayu bakau menjadi serpihan.  Serpihan kayu bakau tersebut di ekspot ke Jepun sepenuhnya.  Setiap bulan, ada kapal besar dari Jepun yang berlabuh di luar pantai Kampung kami untuk mengangkut serpihan kayu bakau tersebut ke Jepun.

Kedatangan kapal besar dari Negeri Jepun itu dan anak-anak kapalnya saban bulan ke Kampung kami memberikan sedikit pendedahan kepada budaya orang Jepun dikalangan penduduk kampung kami pada waktu itu.

Anak-anak kapal Jepun itu membawa bersama mereka barang-barang dari Jepun seperti  minuman keras mereka iaitu Sake, selipar Terompah Jepun , baju Kimono dan mi segera. :)

Gambar ihsan Google

Orang-orang Jepun itu juga pernah menghadiahkan kami di rumah Nek S dengan sekotak besar mi segera  sebagai pertukaran kepada buah limau bali yang dimintanya dari kami. . Waktu itu ada sebatang pokok limau bali di belakang rumah kami dan ia sentiasa berbuah.  Isinya berwarna merah jambu dan rasanya sangat manis.

Pada masa itu, ramailah juga anak-anak dara dan teruna di Kampung kami memakai selipar Terompah Jepun yang diperbuat daripada kayu.  Tak pastilah samada ianya hadiah dari orang-orang Jepun tersebut atau mereka membelinya dari anak-anak kapal Jepun itu.

Gambar ihsan Google


Aku juga masih ingat melihat botol-botol sake yang pelbagai saiz dan bentuk di beberapa rumah orang Kampung kami ketika itu.  Aku harap mereka hanya menyimpan botol-botol tersebut kerana tertarik dengan bentuknya yang pelbagai dan tidak turut sama meminumnya.  Ada diantara botol-botol tersebut yang sangat besar saiznya dari botol-botol biasa.

Anak-anak kapal Jepun itu juga suka meluangkan masa lapang mereka dengan bermain softball di padang bola Kampung kami.


Pegawai-pegawai Jepun yang menjaga operasi kilang mereka di Kampung kami tinggal di tiga buah rumah banglo yang bersambung antara satu sama lain. Rumah-rumah banglo itu letaknya berhadapan dengan Sekolah kami.

Kilang serpihan kayu bakau itu akhirnya telah bertukar tangan kepada syarikat tempatan dan beroperasi lebih dari 20 tahun. Ia berhenti beroperasi kerana kesukaran mendapatkan bahan mentah pada sekitar akhir tahun 1990an.

Kini bangunan kilang dan banglo tersebut sudahpun dirobohkan.



 Teringat sang jejaka Jepun yang bernama Samizu…hensem dan berjambang…masih hidup kah dia?

No comments:

Post a Comment