Wednesday, August 8, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 9


Mandi Air Masin dan Buaya Sg Bapa.



Masa masih budak-budak di Kampung...ada beberapa kali bila air pasang, saya mandi sungai dengan beberapa orang kawan.  Sungai tersebut dinamakan Sungai Bapa...airnya masin dan  letaknya di belakang kampung kami.  Biasanya kami mandi-manda di kawasan yang airnya cetek . Kebanyakan kawan saya juga seperti saya..tak tahu berenang.  Sebab itu kami pilih kawasan cetek sahaja...tak berani ke tengah sungai.

Sekali-sekala...bila air laut pasang...kami mandi laut...itu pun mandi di gigi air sahaja...
Kebanyakan kami budak-budak perempuan memang tak tahu berenang sebab kebanyakan ibu-bapa kami memang pantang sangat kalau tahu kami mandi di Sungai...apatah lagi di laut.

Aktiviti mandi Sungai dan laut biasanya kami lakukan secara bersembunyi dari ibu-bapa kami.  

Pada satu hari, apak memanggil saya dan bertanya betulkah saya ada mandi di Sungai.  Saya diam sahaja.  Apak kata lagi..Pakcik Sahari yang beritahu apak ada nampak saya mandi dengan kawan-kawan di Sungai Bapa. Maka..terpaksalah saya mengaku.  Apak tidaklah marah sangat, tetapi apak tidak mahu saya mandi di Sungai itu lagi kerana kata apak, Pakcik Sahari pernah melihat buaya di Sungai itu, sebab itu dia beritahu apak supaya melarang saya dan kawan-kawan mandi di Sungai itu lagi. Namun pada masa itu, saya langsung tak percaya dengan cerita apak. Bagi saya ketika itu, semuanya cerita rekaan orang dewasa untuk menakutkan kanak-kanak.  Selepas ditegur apak,  saya masih lagi mengikut kawan-kawan mandi di situ tanpa pengetahuan apak.

Pakcik Sahari berasal dari Kuching.  Masa tu dia berada di Rejang kerana menjaga projek DID di Kampung kami.  Selalu juga dia diajak apak makan di rumah kami, sebab itu Pakcik Sahari kenal dengan saya.  

Cerita apak dan Pakcik Sahari tentang adanya buaya di Sungai Bapa hanya saya percayai setelah saya sendiri melihat buaya di sungai tersebut dalam tahun 2006.  Masa itu, saya berkerja di Kementerian Pelancongan Sarawak.  Saya bersama tiga orang rakan sepejabat telah menyewa speed boat untuk pergi meninjau kawasan Taman Negara Hutan Bakau di seberang kampung kami. Ianya merupakan tugas rasmi...meninjau tempat-tempat untuk dimajukan sebagai ecotourism.  Kesempatan itu kami ambil untuk menyusuri sungai-sungai yang ada di kawasan berdekatan Tanjung Manis dan kampung Rejang, termasuklah Sungai Bapa.

Semasa menyusuri Sungai Bapa, kami semua dikejutkan oleh teriakan seorang rakan kami.. “Boyak..boyak.”.beliau menjerit sambil menunjuk ke arah tepi sungai.  Di situ, kelihatan seekor buaya yang agak besar sedang bersantai...Mungkin terkejut dengan bunyi enjin speed boat kami, buaya tersebut dengan pantasnya masuk ke dalam sungai. Menyirap rasanya darah saya melihat permandangan yang tidak saya duga sama-sekali. Jantung saya berdegup kencang, berkali-kali saya meminta pemandu speed boat beredar segera dari situ.  Dalam hati saya sangat-sangat khuatir kalau-kalau buaya itu merapati boat kami dan bermacam lagi imaginasi ada dalam fikiran saya waktu itu.

Itulah pertama kali saya melihat buaya di habitat asalnya.  Sebelum itu saya hanya melihat buaya hidup di Zoo sahaja.

Moral dari cerita ini ialah...percayalah dengan kata-kata orang yang lebih tua...apa lagi bapa sendiri :)

Glosari: buaya = boyak (bahasa Melayu Sarawak)=bayah (bahasa Melanau)

No comments:

Post a Comment