Monday, August 13, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 10

Bermain Di Pantai


Pantai yang indah berpasir hanya tinggal kenangan.
Kampung Rejang terletak di Muara Sungai Rejang.  Di hadapannya terbentang Laut China Selatan.  Dulu...dalam tahun 70an...pantainya masih berpasir.  Lama-kelamaan...pasir menjadi selut (muddy) dan akhirnya ia terpaksa dibenteng dengan bongkah-bongkah batu yang besar untuk mengelak tebing terus runtuh dipukul ombak laut.  Kos ditanggung Kerajaan untuk meletakkan bongkah-bongkah batu itu menelan belanja berjuta Ringgit..

Mengapa pasir pantai boleh hilang dan bertukar menjadi selut ?  Saya percaya semua itu berlaku kerana pencemaran alam.  Pencemaran oleh aktiviti pembalakan di Hulu Sungai dan kilang-kilang kayu yang terdapat banyak di sepanjang Sungai Rejang.  Mungkinkah itu sebabnya? Wallahualam.

Semasa masih kanak-kanak...saya dan kawan-kawan sering juga bermain di pantai kala air surut.

Di pantai kami mengutip bebiji berwarna hitam yang orang kampung kami panggil ' buak Lupis'.  Bentuknya leper dan berwarna hitam licin.  Sampai  hari ini saya tidak tahu bagaimana rupanya pokok yang menghasilkan buah Lupis itu. Biji-biji lupis itu dihanyut oleh air laut dan terdampar di pantai bila air surut.  Biji-biji tersebut kami gunakan untuk bermain congkak.

Banyak kali juga...semasa bermain di pantai itu kami menemui manik-manik berwarna-warni dan cebisan-cebisan tembikar pecah.  Manik-manik itu kami kutip  dan dibuat sebagai barang permainan.

Menurut cerita orang-orang tua di Kampung kami, lama dulu...sebelum kedatangan Islam, orang-orang Kampung kami beragama Pagan..iaitu kepercayaan yang percaya kepada roh-roh.

Bila berlaku kematian, mereka menguburkan mayat-mayat didalam tempayan tembikar yang besar dan barang-barang seperti pinggan mangkuk dan perhiasan seperti emas dan manik-manik juga akan dikubur bersama dengan simati.

Jadi, besar kemungkinan cebisan-cebisan tembikar dan manik-manik yang kami temui di pantai itu adalah dari kuburan lama yang telah runtuh dipukul ombak laut.

Seorang yang saya kenali pernah menceritakan kepada saya bahawa semasa kecil, dia pernah menjumpai emas yang agak banyak dalam tempayan yang tertimbus dalam pasir di pantai Kampung kami.  Dia mengambil emas tersebut dan memberinya kepada ibu dia.  Tetapi ibu dia ketakutan dan meminta dia menyimpan semula emas itu di tempat dia menjumpainya.  Dia bergegas semula ke pantai dan bernasib baik kerana air masih surut dan dia menyimpannya semula kedalam tempayan yang masih tertimbus di dalam pasir.

Menurut cerita orang-orang tua di Kampung kami juga, dulu banyak kapal  layar atau disebut juga sebagai Jong dari negeri China singgah di perairan Kampung kami.  Jong atau kapal Layar berkenaan milik peniga-peniaga dari negeri China yang dalam perjalanan ke  negeri-negeri lain untuk berniaga.  Apabila mereka berhenti di perairan Kampung kami, mereka akan bertukar-tukar barang yang mereka bawa seperti tempayan, pinggan mangkuk tembikar dan manik-manik  dengan makanan dari orang-orang kampung.  Oleh yang demikian , maka ramailah orang-orang kampung kami memiliki barang-barang berkenaan.

Hingga kini, masih banyak lagi rumah-rumah di kampung kami menyimpan khazanah-khazanah seperti itu yang diwariskan secara turun temurun.  Semasa ibu-bapa kami berkahwin, tempayan antik adalah antara bahan-bahan hantaran yang diterima oleh ibu kami.

Ada satu kisah aneh berkenaan dengan pantai itu yang berlaku kepada datuk saya sebelah mak yang kami panggil Nek S.  Pada satu malam, Nek S bermimpi melihat seorang wanita dengan rambut bersanggul sedang mengendong anak kecil berjalan menyusuri air laut di pantai Kampung kami dengan air laut berada pada paras lutut si ibu..  Keesokan paginya, Nek S pergi ke pantai dan semasa menyusuri pantai itu dia menemui patung tembikar berupa seorang wanita dengan rambut bersanggul sedang menyusukan bayi...dan patung itu hanya separuh kerana bahagian kakinya sudah pecah !  Saya masih ingat semasa Nek S menceritakan tentang kisah itu....saya berasa sangat seram..




Sebahagian daripada manik antik kepunyaan ibu saya.

Manik seramik masa kini yang meniru design manik antik


Sungguh menakjubkan that something made so long ago in another country, made it's way across an ocean and become part of my story and my life :))

No comments:

Post a Comment