Sunday, July 29, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 4

Pengalaman Pertama  Menaiki Kapal Terbang dan Berkunjung Ke Kuching.

Cuti Penggal pertama 1972, apak membawa kami sekeluarga, apak, mak, Abam, aku, Elok dan Ani, pergi ke Kuching dengan kapalterbang melalui Sibu.  Itulah pertama kali kami adik-beradik berkunjung ke bandar Kuching dan pertama kali menaiki kapal terbang.

Dalam kapalterbang aku duduk seorang diri kerana tidak cukup pasangan untuk duduk sebaris.  Kerusi disebelah aku tiada penumpang.  Aku langsung tidak merasa takut.  Mungkin rasa teruja menaiki kapalterbang mengatasi segala perasaan yang lain.  Sepanjang perjalanan yang singkat itu, aku asyik melihat keluar jendela kapalterbang.  Seronok melihat awan dan pemandangan di bawah semasa kapalterbang hendak berlepas dan mendarat.

Pramugari memberi aku gula-gula yang banyak.

Sekembali di Kampung, aku seronok bercerita dengan kawan-kawanku pengalaman aku menaiki kapalterbang.  Aku memberitahu mereka bahawa saiz rumah dilihat dari atas seolah-olah sebesar kotak mancis serta sungai dan jalanraya kelihatan seperti ular dipalu.

Kenangan manis menaiki kapalterbang buat pertama kali itu tidak akan ku lupakan.

Kunjungan pertama kali ku ke Kuching dalam tahun 1972 tetap kekal dalam ingatanku.  Berbanding empat  dekad yang lepas, kuching sudah begitu banyak berubah wajah.

Semasa di Kuching, kami sekeluarga menaiki feri untuk ke rumah Nek Chik Idang di Kampung Gita.  Nek Chik Idang adalah adik kepada nenek kami sebelah apak.  Suami Nek Chik Idang berasal dari Kuching dan mereka dikurniakan 11 orang anak.


Di Kuching, kami menginap di rumah Nek Chik Idang dan juga di rumah Pakcik Bujang  kenalan apak di Kampung Bintangor.

Selama beberapa hari di Kuching, kami sekeluarga menghabiskan masa dengan melawat sekitar Kuching dan mengunjungi sanak-saudara.

Apak membawa kami shopping dan membeli beberapa pasang baju baru. 

Kami pulang ke Sarikei dari Kuching dengan menaiki kapal Pulau Kidjang.  Kapal itu memulakan pelayaran dari Kuching pada sebelah petang dan sampai di Sarikei menjelang subuh. Dalam tahun 1973, kapal Pulau Kidjang telah karam di perairan Tanjung Jerijih, tidak jauh dari Kampung kami.  Ramai juga yang terkorban.

Bagiku...setiap kenangan ada signifikannya.
















Thursday, July 26, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 3


Pertama Kali Menonton TV

TV merupakan perkara biasa di zaman ini.  Celik sahaja mata, anak-anak kita sudah kenal TV.  Sekarang adalah perkara biasa bila setiap bilik tidur di rumah kita ada peti TV.

Design TV zaman 1970an

Aku masih ingat saat pertama kali aku menonton TV.  Ianya dalam tahun 1974.  Aku menonton TV buat pertama kalinya dalam hidupku di rumah Penghulu Kampung Rejang pada waktu itu, Allahyarham Pengiran Haji Bisuni.  Rumah beliau agak jauh dari rumah kami.  Beliaulah orang yang pertama memiliki Televisyen di Kampung kami.  Kerana keinginan yang memuncak selepas mendengar cerita kawan-kawan yang sudah menonton TV di rumah Tok Penghulu, satu malam, aku pun mengikut kawan-kawanku pergi menonton TV di rumah tok Penghulu.  Penuh sesak rumah Tok Penghulu dengan orang kampung yang datang menonton TV.  Siaran pada waktu itu masih lagi dalam hitam-putih.  Aku kurang pasti kalau aku ada meminta izin mak untuk pergi menonton pada malam itu.  Mungkin juga kami dan kawan-kawan pergi ke situ selesai mengaji di malam tersebut.

Tidak berapa lama selepas itu, Cikgu Kana, bapa Fazedah, jiran kami pun membeli TV.  Sejak itu, di situlah aku, adik-beradikku dan sepupu kami menumpang menonton TV saban malam sehinggalah akhirnya Nek S juga membeli TV pada tahun berikutnya.

Aku masih ingat, cerita TV kegemaran kami pada waktu itu ialah The Six Million Dollar Man lakunan Lee Majors dan siri cerita perang, Combat.  Penuh sesak rumah kami dengan orang kampung datang menonton TV terutamanya waktu tayangan cerita Combat. Namun keadaan begitu tidak lama.  Semakin hari semakin ramai orang Kampung kami yang memiliki TV dan akhirnya tiada lagi orang yang bertandang ke rumah kami untuk menonton TV.

Setelah siaran TV dalam warna diperkenalkan di Sarawak, apak lah antara orang pertama di Kampung kami membelinya.  Seronok bukan kepalang semasa pertama kali menonton TV dalam warna.  Paling kami suka menonton kartun pada petang hari.  Kartun kesukaan aku ialah The Pink Painter.

Ini bukan rumah aku :)


Kini.. hari..hari nak tengok TV...tapi selalu juga TV yang tengok aku :))



Kampung Rejang 1971-1976 Siri 2


Kampung Rejang- Aktiviti Di masa Lapang.


Setiap hari selepas mengaji, aku dan kawan-kawan akan bermain.  Biasanya kami bermain batu seremban, teng-teng atau main pondok-pondok.  Hanya sekali-sekala aku membantu apak di kedai runcitnya, itupun kalau disuruh. 

Permainan kami  mengikut musim.  Kalau musim bermain guli, kami pun ikut main guli, kalau musim bermain baling gelang getah, kami pun ikut sama.  Permainan kami tak mengira gender, apa yang budak lelaki main, kami budak perempuan pun ikut sama.  Pernah juga kami budak-budak perempuan main perang-perang di belukar sebelah rumah kami.

Permainan baling gelang getah yang paling aku suka.  Permainan ini seakan-akan judilah juga,hee..hee.. mana tak nya,  gelang-gelang getah akan dibaling pada kawasan yang ditandakan. Jika gelang getah yang dibalingkan tidak masuk ke dalam kawasan yang ditandakan, maka dia akan dikeluarkan dari permainan dan sesiapa yang dapat membaling ke dalam kawasan yang ditandakan dan terkena dengan gelang getah yang telah dibaling terlebih dulu, maka dialah yang menang dan kesemua gelang getah yang telah dibaling itu jadi milik dia. 

 Giliran membaling gelang getah akan ditentukan melalui undian dengan cara membaling gelang getah. Sesiapa yang dapat membaling paling jauh, dia akan menjadi peserta terakhir, maknanya, dia mempunyai peluang terbesar untuk membolot gelang-gelang getah pemain-pemain lain.  Aku merasa sangat bangga setiap kali bila menang main baling gelang getah.

Terdapat juga permainan gelang getah yang lebih complicated…dimana gelang2 getah akan disusun di atas gelang getah yang diregangkan dengan dua batang kayu yg dipacak di atas tanah.  Sesiapa yg dapat menjatuhkan gelang2 getah yg terbanyak…dialah pemenang.  Gelang2 getah itu di baling dengan gumpalan gelang2 getah yg diikat ketat2 dengan gelang getah juga dan ia  disebut sebagai TARGET(aha..kecik2 kami budak Kampung dulu2 dah tau makna ‘target’)

Biasanya setiap pemain ada gelang getah bertuah masing-masing.  Biasanya gelang getah itu lebih tebal dari gelang getah yang biasa dan ia hanya digunakan di saat-saat genting dalam permainan baling gelang getah.


Pada zaman 70an, gelang getah biasanya dijual dalam bungkusan dan saiznya tidak semua sama seperti gelang getah di zaman ini.  Mungkin sebab dulu teknologi masih rendah.  Kami si pemain gelang getah sanggup menggunakan wang saku untuk membeli gelang getah dan akan memilih gelang getah yang paling tebal sebagai  ‘mako’ atau gelang getah pembawa tuah.  Jika tiada gelang getah yang tebal, kami akan merendam gelang getah bersaiz biasa didalam minyak tanah.  Kalau terlebih rendam ia akan terlampau kembang dan biasanya ia mengecewakan si pemain gelang getah.

 Bosan bermain kami akan memanjat mana-mana pokok jambu batu atau jambu air yang ada berbuah di waktu itu. 

Di belakang rumah kami ada sebatang pokok jambu air yang besar.  Jika musim berbuah, ia berbuah dengan banyaknya.  Rasa buahnya manis dan ia berwarna pink.  Kini pokok jambu itu tiada lagi. telah ditebang kerana sudah terlalu besar dan mungkin merbahaya jika ia tumbang dan menimpa rumah.

Pokok jambu batu yang selalu menjadi mangsa kami ialah pokok jambu batu jiran belakang rumah kami, milik Pak Jolen dan pokok jambu batu Nek Unggal Hajjah Saleha.  Nek Unggal Hajjah Saleha baru meninggal dunia pada awal tahun 2011.  Al-fatihah buat Allahyarhamah.

Aku, Fazedah dan sepupuku Ida dan adik-adik kami selalu melepak di rumah Nek Unggal pada petang hari.  Nek Unggal dan anak-anak Nek Unggal, Wa Yah dan Usu Neh sangat baik hati.  Tidak pernah mereka memarahi kami kerana suka melepak di rumah mereka.  Selalu kami dijamu dengan air teh dan kuih-muih.

Suami Nek unggal, Nek Abang Junaidi telah meninggal dunia semasa mereka sekeluarga menunaikan  fardhu haji.  Masih jelas dimataku suasana sedih semasa orang kampung menyambut ketibaan mereka sekeluarga dari Tanah Suci.



Wednesday, July 25, 2012

Kampung Rejang 1971-1976


Kampung Rejang 1971-1976- Sekolah Rendah dan Mengaji.

1971…aku masuk Darjah Satu di SRK Abang Galau Rejang.

Aku masih mengingati dengan jelas kehidupan ku semasa kecil di Kampung Rejang. Ia kehidupan yang menyeronokkan dan sentiasa terpahat di kotak ingatanku.  Suka dan sayangku dengan kehidupan di Kampung membuatkan sehingga kini, jika aku bermimpi ia selalu berlatar-belakangkan suasana di kampungku.  Subhanallah...meski ia berkisar tentang peristiwa dan perasaan aku masa kini, namun lanskap dalam mimpiku sentiasa berkisar di kampungku.

Mungkin juga jiwa ini memang jiwa orang Kampung, seringkali aku menyatakan anganku kepada suami dan anak-anakku bahawa aku ingin menetap di kampungku selepas persaraanku nanti. Biasanya mereka hanya mendiamkan diri jika perkara itu ku sebutkan.  Apa yang ada difikiran mereka tatkala mendengar sarananku itu...hanya Allah yang mengetahuinya.  Aku hanya merancang, yang menentukan hanyalah Allah dan Dia lah Yang Maha Mengetahui dan aku percaya sepenuhnya...setiap aturan Allah mempunyai pelbagai hikmat...semoga Allah menjadikan diriku ini redha atas setiap ketentuanNya.


Hari pertama menjejakkan kaki di Sekolah, seingatku aku tidak menangis mungkin kerana aku dapat melihat ramainya wajah-wajah yang ku kenal di sekolah itu.  Salah seorangnya ialah Fazedah, anak jiran kami. Ayah Fazidah juga Guru di sekolah kami.

Masihku ingat, lagu Kebesaran Negeri yang kami nyanyikan di Sekolah Rendah semasa itu ialah Fairland Sarawak sebelum ia diganti dengan lagu lain yang dalam Bahasa Malaysia.

Di Sekolah kami hanya ada satu kelas untuk setiap darjah.  Kelas kami adalah kelas yang pertama di SRK Abang Galau menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

Mereka yang senior mengatakan kami beruntung sebab menggunakan bahasa Malaysia, ia lebih senang kata mereka.  Namun aku sebenarnya cemburu dengan senior kami yang lebih fasih berbahasa Inggeris.

Mungkin kerana rasa cemburu itulah menjadikan sabjek Bahasa Inggeris menjadi sabjek kegemaranku.

Alhamdulillah....aku dikurniakan otak yang boleh tahan bijak..he..he..puji diri sendiri..  dalam darjah satu aku sudah  pandai membaca meski tidak pernah bersekolah tadika.

Setiap kali Ujian penggal, aku mendapat nombor dua dan hanya sekali mendapat nombor tiga semasa di Sekolah Rendah.  Aku sememangnya tidak dapat mengalahkan rakan sekelasku, Ishak Jaafar atau Budong..nama panggilan di Kampung., dialah yang membolot nombor satu dalam semua ujian penggal dari darjah satu sehingga darjah enam.  Ishak memang bijak. Dia melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah di semenanjung Malaysia atas tajaan Yayasan Sarawak.  Kala itu, aku memujuk diri untuk tidak merasa cemburu dengan Ishak.

Kini Ishak menetap di Amerika Syarikat dan berkerja di sana sejak tamat pengajian. 

Semasa di Sekolah Rendah, kawan-kawan sepermainanku ramai.  Antara nya ialah anak-anak jiran kami iaitu  Fazedah, Rosiba dan Surayati.  Aku paling rapat dengan mereka bertiga ini.  Kawan-kawan yang lain hanya muncul sekali-sekala.

Rutin harian kami selepas balik sekolah ialah mengaji Muqadam/Al-quran di rumah Guru mengaji kami yang kami panggil Nek Ungan dan suaminya Nek Muai.  Selepas mengaji kami akan bermain sehingga petang dan pada sebelah malam, selepas orang habis solat maghrib, kami akan mengaji lagi.

Sesungguhnya kebanyakan budak-budak Kampung pada masa itu memang rajin pergi mengaji, kami berlumba-lumba nak khatam.  Aku sendiri khatam al-quran dalam darjah 4.  Ia mungkin agak lewat, tetapi ianya berbaloi kerana guru kami tidak mahu mengajar kami dengan tergesa-gesa kerana beliau mahu kami betul-betul fasih. 

Dalam kami adik-beradik,adikku Ani lah yang paling pandai mengaji, beliau pernah mewakili Sekolah dalam tilawah Al-quran antara Daerah.  Alhamdulillah...semoga Allah menempatkan roh guru-guru mengaji kami iaitu Allahyarhamah Nek Ungan dan Allahyarham Nek Muai di syurga firdaus.  Aameen.

Dulu..semasa di zaman kanak-kanakku, pantai ini masih berpasir..kini hanya ada tembok batu.
Pemandangan senja di perairan Kampung Rajang

Nota: kepada yg empunya gambar...maaf kerana mengguna gambar tanpa izin.

Sirih Pulang Ke Gagang





Semasa aku kecil, keluarga kami menetap di beberapa tempat di Sarawak seperti Bintangor, Sesang, Matu dan Sibu kerana mengikut apak yang bertugas  dengan JKR dan DID.

Pada tahun 1970, apak berhenti kerja dengan Kerajaan dan kami sekeluarga berpindah ke Kampung halaman kami, kampung Rejang, maka bermulalah kehidupanku sebagai budak kampung.

Di kampung, apak membuka kedai runcit dan kami tinggal di rumah milik datuk sebelah mak yang kami panggil Nek S.  Di rumah itu tinggal bersama kami ialah Nek S, Nek Aji ( Nek Aji ada kaitan keluarga dengan Nek S), Udak Yot(adik mak), Nek Nen (adik bungsu Nek S) dan Anjang Ade sekeluarga.  Anjang Ade ialah adik mak yang kedua.

Mak ada enam adik-beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan.  Mak anak sulung.  Semasa kami kembali ke kampung, adik-adik mak yang lain sudah berkerja dan menetap di Bandar.  Ketika itu, Usu Siah, adik bungsu mak, masih belajar di Sekolah Menengah dan tinggal di asrama. Kecuali Anjang Ade dan Udak Yot masih ada di kampung.  Anjang Ade berkerja di Kilang Kayu di Kampung kami dan Udak Yot pula seorang anak dara kampung yang cantik manis dan berkulit putih kuning.

Rumah Nek S tempat kami tinggal agak besar bagi standard rumah kampung, ia ada lima bilik tidur dengan ruang tamu dan ruang dapur yang luas.   Rumah itu telah mengalami beberapa kali pengubahsuaian sejak pertama kali ia didirikan, dan  ia masih utuh hingga kini.

 Kini rumah itu masih didiami Anjang Ade dan isterinya Anjang Pa dan keluarga sepupu kami, Norhayati.  Anak-anak Anjang Ade yang lain semuanya sudah menetap di bandar.






Monday, July 2, 2012

Bermulanya Sebuah Perjalanan




Aku dilahirkan di Kampung Rejang,Sarawak, sebuah perkampungan masyarakat Melanau yang terletak di Kuala Sungai Rejang, Sungai terpanjang di Malaysia.

Aku dilahirkan pada 31 Januari 1964 lebih kurang jam 10 pagi, hari Jumaat.  Aku dilahirkan di bulan Ramadhan...Alhamdulillah.

Aku anak kedua buat kedua ayahanda dan bondaku..yang kami panggil apak dan mak.

Aku ada seorang abang yang kami panggil Abam dan adik-adikku..Elok, Ani, Dewi dan Mimi.  Biarlah ku perkenalkan mereka dengan nama-nama timangan itu meski nama sebenar mereka lebih panjang dan lebih menarik :)

Aku pula...dipanggil sebagai Ros...meski nama sebenarku lebih cantik dan lebih panjang dari itu :) Dikalangan adik-adikku dan sepupu ku...kebanyakan mereka memanggilku sebagai Kak O (nota: huruf o..bukan zero). Ia berpunca daripada kepelatan adikku Elok yang belum pandai memanggil Ros..:)

Semasa aku dilahirkan, apak berkerja sebagai kerani di Jabatan Kerja Raya di Kelupu, sebuah tempat di kawasan Bintangor Sarawak.

Perbezaan umurku dan abang sulung kami Abam, tidak sampaipun dua tahun.  Sudah menjadi kelaziman wanita di zaman 60an, mereka lebih suka melahirkan anak di kampung halaman sendiri.  Begitulah juga mak, meski keluarga kami menetap di tempat lain, setiap kali hendak bersalin, apak akan menghantar mak pulang untuk bersalin di kampung kami.

Aku bersyukur dilahirkan di Kampung halamanku...tempat dimana leluhur keluarga kami dilahirkan.

Aku dilahirkan dengan berbidankan bidan kampung yang bernama Nek Timah.  Menurut kata mak, diapun berbidankan Nek Timah semasa dilahirkan oleh nenek kami, Allahyarhamah Baidah binti Untung.

Nek Timah hidup sehingga usia melewati 100 tahun.  Aku masih ingat dengan Nek Timah.  Dia seorang tua yang cergas dan baik hati. 

Semoga Allah membalas jasa Nek Timah dengan menempatkan rohnya di syurga firdaus.


Diari Hatiku: sentiasa ingat asal-usul