Wednesday, July 25, 2012

Kampung Rejang 1971-1976


Kampung Rejang 1971-1976- Sekolah Rendah dan Mengaji.

1971…aku masuk Darjah Satu di SRK Abang Galau Rejang.

Aku masih mengingati dengan jelas kehidupan ku semasa kecil di Kampung Rejang. Ia kehidupan yang menyeronokkan dan sentiasa terpahat di kotak ingatanku.  Suka dan sayangku dengan kehidupan di Kampung membuatkan sehingga kini, jika aku bermimpi ia selalu berlatar-belakangkan suasana di kampungku.  Subhanallah...meski ia berkisar tentang peristiwa dan perasaan aku masa kini, namun lanskap dalam mimpiku sentiasa berkisar di kampungku.

Mungkin juga jiwa ini memang jiwa orang Kampung, seringkali aku menyatakan anganku kepada suami dan anak-anakku bahawa aku ingin menetap di kampungku selepas persaraanku nanti. Biasanya mereka hanya mendiamkan diri jika perkara itu ku sebutkan.  Apa yang ada difikiran mereka tatkala mendengar sarananku itu...hanya Allah yang mengetahuinya.  Aku hanya merancang, yang menentukan hanyalah Allah dan Dia lah Yang Maha Mengetahui dan aku percaya sepenuhnya...setiap aturan Allah mempunyai pelbagai hikmat...semoga Allah menjadikan diriku ini redha atas setiap ketentuanNya.


Hari pertama menjejakkan kaki di Sekolah, seingatku aku tidak menangis mungkin kerana aku dapat melihat ramainya wajah-wajah yang ku kenal di sekolah itu.  Salah seorangnya ialah Fazedah, anak jiran kami. Ayah Fazidah juga Guru di sekolah kami.

Masihku ingat, lagu Kebesaran Negeri yang kami nyanyikan di Sekolah Rendah semasa itu ialah Fairland Sarawak sebelum ia diganti dengan lagu lain yang dalam Bahasa Malaysia.

Di Sekolah kami hanya ada satu kelas untuk setiap darjah.  Kelas kami adalah kelas yang pertama di SRK Abang Galau menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

Mereka yang senior mengatakan kami beruntung sebab menggunakan bahasa Malaysia, ia lebih senang kata mereka.  Namun aku sebenarnya cemburu dengan senior kami yang lebih fasih berbahasa Inggeris.

Mungkin kerana rasa cemburu itulah menjadikan sabjek Bahasa Inggeris menjadi sabjek kegemaranku.

Alhamdulillah....aku dikurniakan otak yang boleh tahan bijak..he..he..puji diri sendiri..  dalam darjah satu aku sudah  pandai membaca meski tidak pernah bersekolah tadika.

Setiap kali Ujian penggal, aku mendapat nombor dua dan hanya sekali mendapat nombor tiga semasa di Sekolah Rendah.  Aku sememangnya tidak dapat mengalahkan rakan sekelasku, Ishak Jaafar atau Budong..nama panggilan di Kampung., dialah yang membolot nombor satu dalam semua ujian penggal dari darjah satu sehingga darjah enam.  Ishak memang bijak. Dia melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah di semenanjung Malaysia atas tajaan Yayasan Sarawak.  Kala itu, aku memujuk diri untuk tidak merasa cemburu dengan Ishak.

Kini Ishak menetap di Amerika Syarikat dan berkerja di sana sejak tamat pengajian. 

Semasa di Sekolah Rendah, kawan-kawan sepermainanku ramai.  Antara nya ialah anak-anak jiran kami iaitu  Fazedah, Rosiba dan Surayati.  Aku paling rapat dengan mereka bertiga ini.  Kawan-kawan yang lain hanya muncul sekali-sekala.

Rutin harian kami selepas balik sekolah ialah mengaji Muqadam/Al-quran di rumah Guru mengaji kami yang kami panggil Nek Ungan dan suaminya Nek Muai.  Selepas mengaji kami akan bermain sehingga petang dan pada sebelah malam, selepas orang habis solat maghrib, kami akan mengaji lagi.

Sesungguhnya kebanyakan budak-budak Kampung pada masa itu memang rajin pergi mengaji, kami berlumba-lumba nak khatam.  Aku sendiri khatam al-quran dalam darjah 4.  Ia mungkin agak lewat, tetapi ianya berbaloi kerana guru kami tidak mahu mengajar kami dengan tergesa-gesa kerana beliau mahu kami betul-betul fasih. 

Dalam kami adik-beradik,adikku Ani lah yang paling pandai mengaji, beliau pernah mewakili Sekolah dalam tilawah Al-quran antara Daerah.  Alhamdulillah...semoga Allah menempatkan roh guru-guru mengaji kami iaitu Allahyarhamah Nek Ungan dan Allahyarham Nek Muai di syurga firdaus.  Aameen.

Dulu..semasa di zaman kanak-kanakku, pantai ini masih berpasir..kini hanya ada tembok batu.
Pemandangan senja di perairan Kampung Rajang

Nota: kepada yg empunya gambar...maaf kerana mengguna gambar tanpa izin.

No comments:

Post a Comment