Pengalaman Pertama Menaiki Kapal Terbang dan Berkunjung Ke Kuching.
Cuti Penggal
pertama 1972, apak membawa kami sekeluarga, apak, mak, Abam, aku, Elok dan Ani,
pergi ke Kuching dengan kapalterbang melalui Sibu. Itulah pertama kali kami adik-beradik
berkunjung ke bandar Kuching dan pertama kali menaiki kapal terbang.
Dalam
kapalterbang aku duduk seorang diri kerana tidak cukup pasangan untuk duduk
sebaris. Kerusi disebelah aku tiada
penumpang. Aku langsung tidak merasa
takut. Mungkin rasa teruja menaiki
kapalterbang mengatasi segala perasaan yang lain. Sepanjang perjalanan yang singkat itu, aku
asyik melihat keluar jendela kapalterbang.
Seronok
melihat awan dan pemandangan di bawah semasa kapalterbang hendak berlepas dan
mendarat.
Pramugari memberi aku gula-gula yang banyak.
Sekembali di Kampung, aku seronok bercerita
dengan kawan-kawanku pengalaman aku menaiki kapalterbang. Aku memberitahu mereka bahawa saiz rumah
dilihat dari atas seolah-olah sebesar kotak mancis serta sungai dan jalanraya
kelihatan seperti ular dipalu.
Kenangan manis
menaiki kapalterbang buat pertama kali itu tidak akan ku lupakan.
Kunjungan pertama
kali ku ke Kuching dalam tahun 1972 tetap kekal dalam ingatanku. Berbanding empat dekad yang lepas, kuching sudah begitu banyak
berubah wajah.
Semasa di Kuching, kami sekeluarga menaiki feri untuk ke rumah
Nek Chik Idang di Kampung Gita. Nek Chik
Idang adalah adik kepada nenek kami sebelah apak. Suami Nek Chik Idang berasal dari Kuching dan
mereka dikurniakan 11 orang anak.
Di Kuching, kami menginap di rumah Nek Chik
Idang dan juga di rumah Pakcik Bujang kenalan apak di Kampung Bintangor.
Selama beberapa hari di Kuching, kami
sekeluarga menghabiskan masa dengan melawat sekitar Kuching dan mengunjungi
sanak-saudara.
Apak membawa kami shopping dan membeli
beberapa pasang baju baru.
Kami pulang ke Sarikei
dari Kuching dengan menaiki kapal Pulau Kidjang. Kapal itu memulakan pelayaran dari Kuching
pada sebelah petang dan sampai di Sarikei menjelang subuh. Dalam tahun 1973,
kapal Pulau Kidjang telah karam di perairan Tanjung Jerijih, tidak jauh dari Kampung
kami. Ramai juga yang terkorban.
Bagiku...setiap kenangan ada signifikannya.

No comments:
Post a Comment