Thursday, July 26, 2012

Kampung Rejang 1971-1976 Siri 3


Pertama Kali Menonton TV

TV merupakan perkara biasa di zaman ini.  Celik sahaja mata, anak-anak kita sudah kenal TV.  Sekarang adalah perkara biasa bila setiap bilik tidur di rumah kita ada peti TV.

Design TV zaman 1970an

Aku masih ingat saat pertama kali aku menonton TV.  Ianya dalam tahun 1974.  Aku menonton TV buat pertama kalinya dalam hidupku di rumah Penghulu Kampung Rejang pada waktu itu, Allahyarham Pengiran Haji Bisuni.  Rumah beliau agak jauh dari rumah kami.  Beliaulah orang yang pertama memiliki Televisyen di Kampung kami.  Kerana keinginan yang memuncak selepas mendengar cerita kawan-kawan yang sudah menonton TV di rumah Tok Penghulu, satu malam, aku pun mengikut kawan-kawanku pergi menonton TV di rumah tok Penghulu.  Penuh sesak rumah Tok Penghulu dengan orang kampung yang datang menonton TV.  Siaran pada waktu itu masih lagi dalam hitam-putih.  Aku kurang pasti kalau aku ada meminta izin mak untuk pergi menonton pada malam itu.  Mungkin juga kami dan kawan-kawan pergi ke situ selesai mengaji di malam tersebut.

Tidak berapa lama selepas itu, Cikgu Kana, bapa Fazedah, jiran kami pun membeli TV.  Sejak itu, di situlah aku, adik-beradikku dan sepupu kami menumpang menonton TV saban malam sehinggalah akhirnya Nek S juga membeli TV pada tahun berikutnya.

Aku masih ingat, cerita TV kegemaran kami pada waktu itu ialah The Six Million Dollar Man lakunan Lee Majors dan siri cerita perang, Combat.  Penuh sesak rumah kami dengan orang kampung datang menonton TV terutamanya waktu tayangan cerita Combat. Namun keadaan begitu tidak lama.  Semakin hari semakin ramai orang Kampung kami yang memiliki TV dan akhirnya tiada lagi orang yang bertandang ke rumah kami untuk menonton TV.

Setelah siaran TV dalam warna diperkenalkan di Sarawak, apak lah antara orang pertama di Kampung kami membelinya.  Seronok bukan kepalang semasa pertama kali menonton TV dalam warna.  Paling kami suka menonton kartun pada petang hari.  Kartun kesukaan aku ialah The Pink Painter.

Ini bukan rumah aku :)


Kini.. hari..hari nak tengok TV...tapi selalu juga TV yang tengok aku :))



No comments:

Post a Comment