Wednesday, July 25, 2012

Sirih Pulang Ke Gagang





Semasa aku kecil, keluarga kami menetap di beberapa tempat di Sarawak seperti Bintangor, Sesang, Matu dan Sibu kerana mengikut apak yang bertugas  dengan JKR dan DID.

Pada tahun 1970, apak berhenti kerja dengan Kerajaan dan kami sekeluarga berpindah ke Kampung halaman kami, kampung Rejang, maka bermulalah kehidupanku sebagai budak kampung.

Di kampung, apak membuka kedai runcit dan kami tinggal di rumah milik datuk sebelah mak yang kami panggil Nek S.  Di rumah itu tinggal bersama kami ialah Nek S, Nek Aji ( Nek Aji ada kaitan keluarga dengan Nek S), Udak Yot(adik mak), Nek Nen (adik bungsu Nek S) dan Anjang Ade sekeluarga.  Anjang Ade ialah adik mak yang kedua.

Mak ada enam adik-beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan.  Mak anak sulung.  Semasa kami kembali ke kampung, adik-adik mak yang lain sudah berkerja dan menetap di Bandar.  Ketika itu, Usu Siah, adik bungsu mak, masih belajar di Sekolah Menengah dan tinggal di asrama. Kecuali Anjang Ade dan Udak Yot masih ada di kampung.  Anjang Ade berkerja di Kilang Kayu di Kampung kami dan Udak Yot pula seorang anak dara kampung yang cantik manis dan berkulit putih kuning.

Rumah Nek S tempat kami tinggal agak besar bagi standard rumah kampung, ia ada lima bilik tidur dengan ruang tamu dan ruang dapur yang luas.   Rumah itu telah mengalami beberapa kali pengubahsuaian sejak pertama kali ia didirikan, dan  ia masih utuh hingga kini.

 Kini rumah itu masih didiami Anjang Ade dan isterinya Anjang Pa dan keluarga sepupu kami, Norhayati.  Anak-anak Anjang Ade yang lain semuanya sudah menetap di bandar.






No comments:

Post a Comment