Wednesday, July 25, 2012

Sirih Pulang Ke Gagang





Semasa aku kecil, keluarga kami menetap di beberapa tempat di Sarawak seperti Bintangor, Sesang, Matu dan Sibu kerana mengikut apak yang bertugas  dengan JKR dan DID.

Pada tahun 1970, apak berhenti kerja dengan Kerajaan dan kami sekeluarga berpindah ke Kampung halaman kami, kampung Rejang, maka bermulalah kehidupanku sebagai budak kampung.

Di kampung, apak membuka kedai runcit dan kami tinggal di rumah milik datuk sebelah mak yang kami panggil Nek S.  Di rumah itu tinggal bersama kami ialah Nek S, Nek Aji ( Nek Aji ada kaitan keluarga dengan Nek S), Udak Yot(adik mak), Nek Nen (adik bungsu Nek S) dan Anjang Ade sekeluarga.  Anjang Ade ialah adik mak yang kedua.

Mak ada enam adik-beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan.  Mak anak sulung.  Semasa kami kembali ke kampung, adik-adik mak yang lain sudah berkerja dan menetap di Bandar.  Ketika itu, Usu Siah, adik bungsu mak, masih belajar di Sekolah Menengah dan tinggal di asrama. Kecuali Anjang Ade dan Udak Yot masih ada di kampung.  Anjang Ade berkerja di Kilang Kayu di Kampung kami dan Udak Yot pula seorang anak dara kampung yang cantik manis dan berkulit putih kuning.

Rumah Nek S tempat kami tinggal agak besar bagi standard rumah kampung, ia ada lima bilik tidur dengan ruang tamu dan ruang dapur yang luas.   Rumah itu telah mengalami beberapa kali pengubahsuaian sejak pertama kali ia didirikan, dan  ia masih utuh hingga kini.

 Kini rumah itu masih didiami Anjang Ade dan isterinya Anjang Pa dan keluarga sepupu kami, Norhayati.  Anak-anak Anjang Ade yang lain semuanya sudah menetap di bandar.






Monday, July 2, 2012

Bermulanya Sebuah Perjalanan




Aku dilahirkan di Kampung Rejang,Sarawak, sebuah perkampungan masyarakat Melanau yang terletak di Kuala Sungai Rejang, Sungai terpanjang di Malaysia.

Aku dilahirkan pada 31 Januari 1964 lebih kurang jam 10 pagi, hari Jumaat.  Aku dilahirkan di bulan Ramadhan...Alhamdulillah.

Aku anak kedua buat kedua ayahanda dan bondaku..yang kami panggil apak dan mak.

Aku ada seorang abang yang kami panggil Abam dan adik-adikku..Elok, Ani, Dewi dan Mimi.  Biarlah ku perkenalkan mereka dengan nama-nama timangan itu meski nama sebenar mereka lebih panjang dan lebih menarik :)

Aku pula...dipanggil sebagai Ros...meski nama sebenarku lebih cantik dan lebih panjang dari itu :) Dikalangan adik-adikku dan sepupu ku...kebanyakan mereka memanggilku sebagai Kak O (nota: huruf o..bukan zero). Ia berpunca daripada kepelatan adikku Elok yang belum pandai memanggil Ros..:)

Semasa aku dilahirkan, apak berkerja sebagai kerani di Jabatan Kerja Raya di Kelupu, sebuah tempat di kawasan Bintangor Sarawak.

Perbezaan umurku dan abang sulung kami Abam, tidak sampaipun dua tahun.  Sudah menjadi kelaziman wanita di zaman 60an, mereka lebih suka melahirkan anak di kampung halaman sendiri.  Begitulah juga mak, meski keluarga kami menetap di tempat lain, setiap kali hendak bersalin, apak akan menghantar mak pulang untuk bersalin di kampung kami.

Aku bersyukur dilahirkan di Kampung halamanku...tempat dimana leluhur keluarga kami dilahirkan.

Aku dilahirkan dengan berbidankan bidan kampung yang bernama Nek Timah.  Menurut kata mak, diapun berbidankan Nek Timah semasa dilahirkan oleh nenek kami, Allahyarhamah Baidah binti Untung.

Nek Timah hidup sehingga usia melewati 100 tahun.  Aku masih ingat dengan Nek Timah.  Dia seorang tua yang cergas dan baik hati. 

Semoga Allah membalas jasa Nek Timah dengan menempatkan rohnya di syurga firdaus.


Diari Hatiku: sentiasa ingat asal-usul